Akhbar Tempatan

Harakah Malaysiakini Metro beritaharian NST utusan

PERANAN AKHBAR : PEMBERI NILAI TAMBAH KEPADA GURU DAN PELAJAR

14 July 2013

Keakraban guru dan Utusan Malaysia 

PERANAN Utusan Malaysia sebagai pencetus kesedaran dalam kalangan guru terhadap dasar-dasar kerajaan, memang tidak dapat disangkal lagi. 

Banyak dasar baharu yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan diuar-uarkan melalui Utusan Malaysia. Guru akan menyambut dasar-dasar baru berkenaan dengan pelbagai reaksi - tidak terkecuali segelintir yang menjadi pemerhati pasif sahaja. 

Sebagai guru, kita tidak seharusnya menjadi massa yang pasif atau menjurus kepada kelompok negatif dan anarki. Keakraban antara Utusan Malaysia dan pendidik akan menjadikan sistem pendidikan lebih bermakna, bukan menyimpang. 



Sebagai pendidik dan pelajar, membaca akhbar Utusan Malaysia akan mendedahkan kita dengan pengetahuan baharu, yang boleh diserap, digarap, dicerna dan dipraktiskan bagi menjadikan kita seorang pendidik atau pelajar yang lebih berketerampilan. 

Ilmu-ilmu semasa ini juga boleh menjadikan kita manusia yang mampu membezakan perkara yang baik dan buruk, lama dan baru serta menetapkan sesuatu kewajaran, sama ada untuk diterima atau ditolak. 

Sehubungan itu, adalah wajar bagi setiap pelajar - mahupun pendidik - membiasakan diri dengan semua halaman dan kolum di dalam Utusan Malaysia, dan bukan kepada halaman seperti hiburan, sukan atau pendidikan sahaja. 

Terdapat banyak halaman yang boleh memberi nilai tambah kepada pengetahuan pelajar seperti ruangan rencana pengarang, rencana agama, rencana semasa, ulasan buku dan ruangan bahasa. 

Sehubungan itu, guru juga perlu mengingatkan pelajar supaya membiasakan diri dengan bahan-bahan yang boleh memberikan nilai tambah ini. 

Sebagai permulaan, amalan atau kebiasaan ini boleh dilakukan ketika guru menggunakan akhbar sebagai bahan bantu pengajaran secara langsung, dengan mendedahkan elemen tatabahasa, kosa kata atau laras bahasa - serta semantiknya. 

Ketika guru memetik item khusus bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) daripada kolum rencana pengarang atau rencana semasa daripada Utusan Malaysia, maka mereka sepatutnya membuat ulasan tentang apa yang cuba hendak disampaikan oleh pengarang rencana berkenaan. 

Pelajar juga perlu diberi peluang memberi pandangan balas bagi membolehkan percambahan minda merentas bilik darjah. 

Di pusat sumber sekolah pula, akhbar perlu menjadi rujukan bahan berkala yang penting kepada guru yang ingin merujuk dan menggunakan bahan, selain pelajar yang mahu memetik isu atau ungkapan seseorang pemimpin atau selebriti. 

Dengan usaha yang berterusan dan ikhlas daripada warga guru untuk mempromosikan nilai tambah yang terdapat di dalam akhbar Utusan Malaysia, nescaya usaha untuk menyebarkan dasar dan pemikiran arus perdana akan sampai kepada pelajar yang merupakan pengemudi negara pada satu hari nanti. 

MAKLUMAN 

PENDIDIK atau pentadbir sekolah digalakkan menyumbang buah fikiran tentang isu semasa berkaitan dengan pendidikan dalam ruangan ini. Penulis yang tulisannya mencapai standard tertentu mengikut penilaian kami, akan diangkat menjadi ahli Lembaga Editorial Sekolah dan diberi testimoni (sijil) untuk merit kerjaya keguruan. 

Selain itu, inisiatif berupa kerjasama pintar antara Utusan Malaysia-pihak sekolah seperti program ADaP, langganan ADaP pada harga istimewa serta beberapa hadiah menarik lain akan diberikan kepada wacana terpilih. 

credit- utusan malaysia online

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP