Tindakan Alvin, Vivian terus dikutuk
14 July 2013
KUALA LUMPUR 13 Julai - Tindakan pasangan Tan Jye Yee (Alvin), 25, dan Vivian Lee, 24, yang mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik gambar hidangan dan kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam terus mendapat kecaman masyarakat.
Sehingga pukul 5 petang ini, empat laporan polis diterima di seluruh negara mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kedua-dua bekas pelajar National University of Singapore itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, polis sedang menyiasat perkara itu susulan laporan yang dibuat oleh MCA Negeri Sembilan di Seremban semalam.
"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.
Pasangan itu sekali lagi menimbulkan kontroversi apabila memuat naik gambar mereka menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)... wangi, enak dan menyelerakan' di laman Facebook mereka.
Tidak cukup dengan itu, mereka turut meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.
Pasangan itu pernah mencetuskan kontroversi di Singapura dengan memuat naik gambar dan video lucah mereka ke dalam blog.
Di JOHOR BAHRU, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Usahanita Cawangan Kulaijaya dan Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Tanjung Puteri masing-masing diwakili oleh Pengerusinya, Mazanah Mohammad Zain dan Timbalan Pengerusi, Fauziah Abdullah membuat laporan di Balai Polis Tampoi kira-kira pukul 1 petang ini.
Mazanah memberitahu, dia menerima sistem pesanan multimedia (MMS) daripada rakannya pada pukul 9.30 pagi ini berhubung perkara tersebut sambil menyifatkan tindakan pasangan itu sebagai menghina kesucian Islam.
"Saya tidak puas hati dengan perbuatan ini kerana kita sebagai masyarakat yang berbilang bangsa di negara ini seharusnya menghormati satu sama lain.
"Perbuatan mereka seolah-olah mempersendakan agama Islam ditambah lagi ketika umatnya menyambut Ramadan. Saya mahu pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan.
Di KUALA LUMPUR, Biro Media Baru MIC Wilayah Persekutuan yang diwakili ketuanya, R. Vichishwaran membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pukul 3 petang semalam.
Menurut Vichishwaran, tindakan pasangan yang popular dengan gelaran Alvin dan Vivian itu seolah-olah cuba membangkitkan kemarahan umat Islam di negara ini.
"Kandungan Facebook tersebut bersifat hasutan dan boleh menghancurkan permuafakatan antara kaum. Oleh itu, saya berharap satu tindakan tegas dan sewajarnya diambil terhadap mereka yang memuat naik gambar menghina Islam itu," katanya.
credit to utusan online
0 comments:
Post a Comment